1. Selidik Terlebih Dahulu.
Firman Allah bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6)
.
2. Berhenti Mengumpat/Memfitnah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Lalu Baginda meneruskan sabdanya:
“Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya”.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat:
“Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?”
Rasulullah bersabda lagi: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya, bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya, bererti kamu memfitnahnya.”
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
.
3. Larangan Mengintip-ngintip.
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam Firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”
(Surah al-Hujurat, ayat 12)
Rahsia mengenai seseorang itu pada mulanya tersembunyi, tetapi ada pula yang mendedahkannya.
Sebaiknya, setiap orang perlu diam terhadap apa yang dilihatnya kecuali perkara yang dapat menguntungkan golongan Muslimin atau untuk menolak dosa dan maksiat yang dilakukan orang berkenaan.
.
4. Menanggung Dosa Yang Sama.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.”
(Hadis riwayat Muslim)
Hadis berkenaan menunjukkan bagaimana dosa itu bukan di atas bahu orang yang mencipta berita palsu sahaja, tetapi dosa itu juga merangkumi orang menyampaikan semua berita yang dia dengar sama ada benar atau palsu.
Golongan yang menyampaikan berita palsu dikira sebagai pembohong kerana bersubahat.
Wallahu A’lam.
“Tidak pasti, jangan kongsi”.



